Kepimpinan Premier Sarawak Terus Pacu Pembangunan Menyeluruh DUN Meluan
MELUAN: Kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus menjadi pemacu utama pembangunan menyeluruh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan, khususnya melibatkan penyediaan infrastruktur asas dan pelaksanaan transformasi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pelbagai projek pembangunan telah berjaya direalisasikan sejak Premier Sarawak memimpin negeri ini, sekali gus membawa perubahan ketara kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, sebelum ini Meluan berdepan kekurangan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, namun situasi tersebut kini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Sehingga kini, hampir 90 peratus kawasan pedalaman Meluan telah menikmati bekalan elektrik melalui sambungan grid, manakala pembinaan dan penaiktarafan jalan raya masih giat dilaksanakan bagi memastikan akses perhubungan yang lebih selamat dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis di sini pada Rabu bagi mengulas pencapaian kepimpinan Premier Sarawak dalam memacu pembangunan di kawasan DUN Meluan.
Tambah beliau, Meluan turut menerima manfaat daripada agenda transformasi digital negeri apabila hampir keseluruhan kawasan berpenduduk kini telah diliputi rangkaian 4G, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu serta memudahkan urusan komunikasi rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan perasmian Jambatan Nanga Lasi oleh Premier Sarawak sebagai satu sumbangan besar yang memberi impak signifikan kepada penduduk setempat, khususnya dalam meningkatkan jaringan perhubungan antara kawasan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak atas komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan seimbang dan inklusif di seluruh negeri.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah pemimpin masyarakat setempat serta wakil agensi kerajaan berkaitan.-EDISI UKAS