SERIAN: Sebanyak dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup iaitu di Kampung Muara Mongkos dan Kampung Mongkos telah dimulakan pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben menjelaskan, dua projek berkenaan ialah Projek Pembinaan Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Mongkos dengan kos keseluruhan berjumlah RM350,000 serta Projek Menyiapkan Pembinaan Gereja St Bernadette, Kampung Mongkos yang menelan kos RM200,000.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menegaskan kepentingan pematuhan kepada jadual pelaksanaan projek oleh pihak kontraktor, khususnya projek pembinaan Gereja St Bernadette agar dapat disiapkan selewat-lewatnya sebelum Sambutan Hari Gawai 2026.
Bagi projek Gereja St Bernadette, peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja pendawaian elektrik, pemasangan jubin serta siling, dengan tempoh pelaksanaan ditetapkan selama lima bulan dari tarikh penyerahan tapak.
Beliau turut menyatakan bahawa penyiapan projek gereja tersebut kelak akan memberikan keselesaan kepada umat Kristian di Kampung Mongkos, yang sebelum ini terpaksa menggunakan balai raya sebagai lokasi alternatif untuk menjalankan ibadat sejak tahun 2024.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas serta meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya. -EDISI UKAS