Kenaikan Elaun KMKK Bukti Komitmen Kerajaan Sarawak Hargai Kepimpinan Akar Umbi
DALAT: Kerajaan Sarawak terus menghargai peranan penting Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai tonggak pentadbiran komuniti di peringkat akar umbi menerusi kenaikan elaun bulanan sebanyak RM400 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, kenaikan tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah institusi KMKK dan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan YAB Premier Sarawak dalam menjaga kebajikan serta memperkukuh profesionalisme kepimpinan masyarakat.
Ujarnya, seramai 7,700 pemimpin masyarakat termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum di seluruh Sarawak terlibat dalam pelaksanaan kenaikan elaun tersebut, sejajar dengan keperluan meningkatkan kualiti perkhidmatan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Justeru, saya menegaskan bahawa kenaikan elaun berkenaan perlu disusuli dengan peningkatan tahap integriti, akauntabiliti dan prestasi dalam kalangan KMKK bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam Majlis Amanat YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN N56 Dalat yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Sabtu.
Beliau turut menggesa KMKK agar terus bersikap proaktif, menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat serta berperanan sebagai ejen perpaduan dalam memelihara keharmonian komuniti berbilang kaum dan budaya di Dalat.
Majlis berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara wakil rakyat, agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat demi memastikan pembangunan yang inklusif serta kesejahteraan rakyat di DUN N56 Dalat terus terpelihara. -EDISI UKAS