Program MyLesen B2 Ringankan Beban Belia di DUN Tanjong Batu
BINTULU: Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) kelas B2 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu terus memberi manfaat kepada golongan belia dengan membantu mereka mendapatkan lesen memandu pada kos yang lebih mampu milik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak serta sokongan Kementerian Pengangkutan Malaysia, khususnya bagi membantu pelajar dan lepasan sekolah.
Menurut beliau, kos biasa untuk mendapatkan lesen memandu adalah sekitar RM700, namun melalui program berkenaan, peserta hanya perlu membayar RM250.
“Inisiatif ini amat membantu golongan belia yang memerlukan sokongan kewangan.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan program tersebut di sebuah hotel, di sini pada Sabtu.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Malaysia atas pelaksanaan program tersebut yang disifatkan sebagai usaha murni membantu belia memiliki lesen motosikal.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua penerima lesen agar mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan lesen dengan penuh tanggungjawab demi keselamatan bersama.
Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata, pihaknya mempunyai mekanisme pemantauan terhadap penerima lesen, termasuk tindakan penggantungan sekiranya terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau memaklumkan setakat ini tiada sebarang kes pelanggaran syarat melibatkan penerima lesen di kawasan Tanjong Batu dan berharap tahap pematuhan itu dapat dikekalkan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.-EDISI UKAS