BPHB Terus Santuni Komuniti Menerusi Sumbangan Bakul Makanan Sempena TBC 2026
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melalui Yayasan Bintulu Port terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan komuniti setempat menerusi Program Bintulu Port Prihatin – Sumbangan Bakul Makanan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, sebagai sebahagian inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.
Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan memerlukan menjelang musim perayaan, malah mencerminkan keprihatinan berterusan syarikat dalam memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Bintulu.
Menurut beliau, pelaksanaan sumbangan itu merupakan tanda penghargaan BPHB kepada komuniti setempat, khususnya masyarakat Cina yang bakal menyambut TBC tidak lama lagi.
“Melalui program ini, kami berharap sumbangan bakul makanan yang diberikan, walaupun sederhana, dapat membantu penerima membuat persiapan menyambut TBC dengan lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hi-Tea selepas simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan di Kuil Si Thian Hock Teck Wang Hock Shu Moo (Kuan Yin Tong) di sini, pada Selasa.
Maslihah turut memaklumkan bahawa pendekatan CSR BPHB dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira kepelbagaian budaya dan kepercayaan, selaras dengan usaha memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Sepanjang tahun, BPHB melaksanakan pelbagai program CSR bersempena perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Hari Krismas. Pemilihan rumah ibadat sebagai lokasi program pula dilakukan secara bergilir,” jelasnya.
Tambah beliau, BPHB akan terus komited menterjemahkan keprihatinan terhadap masyarakat melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada golongan sasar serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial di Bintulu.-EDISI UKAS