6 Projek RTP 2025 DUN Balingian Bernilai RM850,000 Siap, Bukti Keprihatinan Kerajaan Sarawak
BALINGIAN: Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmen dan keprihatinannya terhadap pembangunan luar bandar apabila sebanyak enam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Mukah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bernilai RM850,000 telah berjaya disiapkan dan kini memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Projek-projek berkenaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas, khususnya jaringan jalan perhubungan dan infrastruktur komuniti, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Antara projek yang telah dilaksanakan ialah naiktaraf jalan rumah ke rumah di Kampung Sungai Ragei, naiktaraf jalan ke rumah-rumah di Kampung Penakub Ulu dan Kampung Sesok Baru, selain naiktaraf parit konkrit di Kampung Masjid Balingian bagi meningkatkan sistem perparitan dan keselamatan penduduk.
Turut dilaksanakan ialah naiktaraf titian di Jeti Utama Kampung Kuala Balingian termasuk kerja-kerja tambahan, serta naiktaraf titian belian kepada titian konkrit di Jalan Haji Terang, Kampung Kuala Balingian, yang memberi kemudahan lebih selamat dan tahan lama kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dalam pada itu memuji kontraktor yang dilantik atas komitmen dan profesionalisme tinggi dalam melaksanakan projek-projek berkenaan dengan kualiti kerja yang baik serta menepati jadual yang ditetapkan, sekali gus memastikan manfaat dapat dinikmati oleh penduduk dalam tempoh yang dirancang.
Pelaksanaan kesemua projek ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang, khususnya di kawasan luar bandar. -EDISI UKAS