BETONG: Seramai penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar menerima manfaat di bawah Projek Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Majlis serah tapak projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Betong pada Rabu itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Projek PPRS berkenaan dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Pejabat Daerah Betong bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong sebagai agensi teknikal.
Setiap penerima menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah melibatkan pembaikan asas seperti atap, dinding dan struktur penting kediaman, dengan tempoh pelaksanaan projek selama empat minggu.
Daripada jumlah tersebut, masing-masing seorang penerima melibatkan rumah panjang di Nanga Buai, Stambak Ili, Nanga Ban, Semumok Atas dan Lempaong, manakala empat penerima lagi adalah dari Kampung Hilir, Betong.
Menurut Datuk Gerald, pelaksanaan program PPRS amat bermakna kerana ia memberi tumpuan kepada golongan kurang berkemampuan serta menyalurkan bantuan secara langsung ke peringkat akar umbi.
“Di DUN Layar, sembilan penerima mendapat manfaat di bawah program ini. Kita amat menghargai usaha kerajaan melalui inisiatif Kerajaan MADANI yang terus prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh kira-kira sebulan dan berharap projek dapat diselesaikan mengikut jadual supaya penerima dapat menikmati kemudahan yang lebih baik, khususnya menjelang musim perayaan.
Selain itu, beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan memandangkan masih ramai lagi penduduk luar bandar yang memerlukan bantuan, di samping mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi memberi impak yang lebih menyeluruh.
Terdahulu, pihak JKR Bahagian Betong telah menyampaikan taklimat berkaitan skop kerja kepada penerima dan kontraktor sebelum sesi serah tapak dilaksanakan secara rasmi.
Turut hadir ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nayup, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Betong, Christina Peter serta Pegawai Teknikal JKR Bahagian Betong, Christina Bada.- EDISI UKAS