Ahli Parlimen Batang Sadong Pantau Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Kampung Sageng
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee mengadakan lawatan tapak ke Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Kampung Sageng bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek serta mendengar sendiri isu dan keperluan penduduk setempat, pada Jumaat.
Lawatan di tapak projek tersebut turut disertai Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan, Raffendy Ariffen, wakil jabatan berkaitan, kontraktor projek serta ketua-ketua kaum Kampung Sageng.
Dalam sesi lawatan itu, Rodiyah telah diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan mengenai skop kerja dan status semasa projek, sambil menegaskan kepentingan projek tersebut dalam menangani masalah hakisan tebing sungai yang sekian lama membimbangkan penduduk Kampung Sageng, khususnya ketika musim hujan dan paras air sungai meningkat.
“Hakisan yang berterusan bukan sahaja mengancam kediaman penduduk, malah turut memberi kesan kepada infrastruktur awam serta aktiviti harian masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui wartawan UKAS.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihaknya turut menerima aduan berkaitan sebuah rumah penduduk yang dipercayai mengalami kerosakan kecil dan berkemungkinan terkesan akibat pelaksanaan kerja-kerja projek tersebut.
Sehubungan itu, pihak kontraktor telah mengumpul maklumat berkaitan dan kini berada di peringkat penilaian bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil secara menyeluruh dan berhemah.
“Saya bersama pihak kontraktor, DID serta Pejabat Daerah Simunjan akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin, di samping memastikan kemapanan infrastruktur di kawasan Simunjan secara amnya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Untuk rekod, projek penahan hakisan Tebingan Sungai Kampung Sageng melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM40.8 juta dengan tempoh pelaksanaan kontrak selama 24 bulan dan projek dijadualkan siap sepenuhnya pada 14 April 2027.-EDISI UKAS