RM1.2 Juta Geran MRP 2025 Disalurkan Kepada 95 Penerima DUN Satok
KUCHING: Sebanyak RM1.2 juta geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2025 telah diagihkan kepada 95 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dalam satu majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad & PETROS) merangkap ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, penerima terdiri daripada badan pertubuhan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), kelab, jawatankuasa masjid dan surau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN berkenaan.
Menurut beliau, peruntukan tersebut bertujuan membantu organisasi masyarakat melaksanakan aktiviti serta operasi masing-masing demi kebajikan penduduk setempat.
“Saya faham kerana saya juga pernah terlibat dalam persatuan dengan organisasi NGO khususnya, jadi anda perlukan peruntukan untuk menjalankan operasi, aktiviti-aktiviti yang dirancangkan.
“Di atas kefahaman itu, saya memang memang memberi keutamaan bagi semua persatuan-persatuan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan sumbangan MRP berkenaan.
Datuk Ibrahim menambah, semua pihak yang menerima bantuan berkenaan memegang amanah dan tanggungjawab untuk memanfaatkannya sebaik mungkin demi kesejahteraan masyarakat.-EDISI UKAS