BINTANGOR: Sebanyak 13 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2026 bagi kawasan DUN Meradong telah diluluskan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf dan penambahbaikan kemudahan sekolah, masjid, rumah panjang serta infrastruktur kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing telah mengadakan lawatan tapak pada Rabu bagi meninjau pelaksanaan kesemua projek berkenaan yang berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei.
Melalui sesi lawatan itu juga, beliau berkesempatan mendengar sendiri pandangan dan maklum balas daripada pihak sekolah, jawatankuasa masjid serta penduduk rumah panjang.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan secara turun padang amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan digunakan secara telus, berhemah dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
“Komitmen untuk turun padang dan memantau pelaksanaan projek akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi impak positif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Meradong,” katanya.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR Bahagian Sarikei selaku agensi pelaksana atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek RTP di kawasan DUN Meradong.
Antara projek yang terlibat ialah menaiktaraf Jalan Rumah Panjang Budol, Sungai Petai (RM50,000), menaiktaraf kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Petai (RM100,000), menaiktaraf struktur berbumbung SK Ulu Meradong (RM100,000), menaiktaraf ruang tambahan Masjid Al-Muhajirin Taman Bintang, Bintangor (RM50,000) serta menaiktaraf stadium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung (RM100,000).
Turut dilaksanakan ialah menaiktaraf pagar SJK (C) Yong Kwong (RM50,000), menaiktaraf gelanggang bola keranjang SJK (C) Kung Cheng (RM50,000), menaiktaraf kemudahan SMK Meradong (RM150,000), pembinaan baharu tembok penahan Rumah Ujih, Sungai Rayah (RM100,000), menaiktaraf kemudahan dewan dan bilik ICT SK Rentap (RM50,000), baik pulih halaman SJK (C) Hua Kee (RM50,000), menaiktaraf dewan dan pendawaian semula SK Bukit Nibong (RM100,000) serta menaiktaraf jalan dan lantai Rumah Panjang Giman, Skim B Meradong (RM50,000).-EDISI UKAS