LIMBANG: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan kerja ke tiga tapak Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar Limbang, pada Khamis.
Lawatan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.79 Bukit Kota itu melibatkan tinjauan ke Surau Darul Ibadah Kampung Seberang Kedai, kawasan lapang Tebingan Sungai Limbang dan Medan Selera Limbang.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan kerja-kerja naik taraf yang telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor bagi memastikan projek berjalan lancar serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Di Surau Darul Ibadah Kampung Seberang Kedai, kerja-kerja naik taraf melibatkan pembaikan siling, bumbung dan lantai pekarangan surau telah siap dengan kos sebanyak RM50,000.
Projek itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan jemaah yang menggunakan kemudahan berkenaan.
Seterusnya, beliau meninjau projek naik taraf pembatuan kawasan lapang di hujung Tebingan Sungai Limbang berharga RM100,000 yang bertujuan mengatasi kekurangan lot parkir di kawasan bandar Limbang, sekali gus memberi kemudahan tambahan kepada pemilik premis perniagaan dan pelanggan.
Dalam lawatan itu, beliau turut mengarahkan pemasangan papan tanda serta penyelenggaraan berkala termasuk pemotongan rumput bagi memastikan kawasan tersebut sesuai dan selamat digunakan sebagai parkir awam.
Tinjauan turut dilakukan di Medan Selera Limbang yang telah siap dinaik taraf dengan kos RM50,000.
Antara penambahbaikan dilaksanakan termasuk pembinaan penghadang hujan, pemasangan huruf 3D freestanding (monumental letters) bagi menyerlahkan identiti premis serta usaha meningkatkan keselesaan pelanggan.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menerima beberapa aduan daripada pemilik premis berkaitan keperluan menaik taraf sistem saliran paip air, penambahan jumlah kerusi serta pemasangan lampu tambahan bagi meningkatkan pencahayaan, khususnya pada waktu malam.
Penambahbaikan berterusan ini penting bagi memastikan aspek kebersihan, keselesaan dan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan maksima, sekali gus mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan teratur.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Limbang, Ayunni Tamimi, Pegawai Tadbir Pembangunan Fizikal (Projek) Pejabat Daerah Limbang, Mohd Sobree Damit, Jurutera (Bahagian Kejuruteraan Awam) Majlis Daerah Limbang, Nur Rafiqah Suhaili, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang, Mohamad Abu Bakar serta Ketua Kampung Seberang Kedai Limbang, Rosli Ramli. -EDISI UKAS