Mesyuarat PCDS 2030 Pacu Pembangunan Inklusif DUN Krian
SARATOK: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan pasca pandemik menerusi Mesyuarat Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif & Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Mesyuarat di Dewan Pejabat Daerah Saratok itu dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid serta dihadiri ADUN Krian, Friday Belik.
Program anjuran Pejabat Daerah Saratok itu menghimpunkan kira-kira 40 peserta bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif selaras rangka tindakan PCDS 2030.
Perbincangan memberi fokus kepada perancangan strategik untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi rakyat secara inklusif dan mampan melalui pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi serta rakan strategik.
Antara inisiatif dirancang ialah pameran melibatkan Betong Division Development Agency (BDDA), Halal Development Corporation (HDC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Saratok serta Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd di Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok sebagai platform penyampaian maklumat dan peluang pembangunan kepada masyarakat.
Selain itu, Program Jangkauan Setiausaha Politik Pejabat Premier Sarawak (POLSEC Outreach Programme – ORP) akan diadakan pada 11 April depan dengan mengetengahkan agenda Ekonomi Hijau Sarawak selaras aspirasi pembangunan rendah karbon menjelang 2030.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri memastikan pelaksanaan PCDS 2030 diterjemah secara berkesan di peringkat akar umbi, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan memperkukuh daya tahan komuniti pasca pandemik. –EDISI UKAS