Pusat Seni Persembahan Sarawak Pemangkin Industri Kreatif
KUCHING: Projek pengubahsuaian bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi Pusat Seni Persembahan Sarawak yang pertama dijangka menjadi pemangkin baharu industri kreatif serta memperkukuh sektor pelancongan budaya negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek bernilai RM247 juta itu merupakan inisiatif strategik kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur seni bertaraf negeri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan budaya.
Menurut beliau, setakat ini kemajuan fizikal projek telah mencapai 29 peratus dan berada dalam jadual pelaksanaan, malah sedikit mendahului perancangan asal.
“Alhamdulillah kita telah dimaklumkan oleh pihak JKR dan juga pemaju bahawa mereka berada dalam jadual, malah mendahului kira-kira satu hingga dua peratus,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak projek itu di sini pada Jumaat.
Beliau menambah, projek dijangka siap pada 2027 itu bakal menjadi antara mercu tanda baharu pembangunan pelancongan berasaskan seni dan budaya di Sarawak.
Ia akan dilengkapi dengan pusat seni persembahan berkapasiti kira-kira 600 tempat duduk dan menjadi platform utama bagi penganjuran acara seni dan kebudayaan bertaraf negeri serta antarabangsa.
Katanya, projek tersebut bukan sahaja memelihara nilai warisan bangunan bersejarah, malah memberi nafas baharu kepada kawasan sekitar sebagai tarikan pelancongan yang berimpak tinggi.
Skop projek melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan DUN lama serta komponen tambahan termasuk bangunan bersebelahan yang dikenali sebagai Lapau.
Jelasnya, penyediaan kemudahan seni persembahan yang moden dan kondusif diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat, menarik lebih ramai pelancong serta membuka peluang lebih luas kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk mengetengahkan bakat di pentas profesional.
Dengan kemajuan semasa yang konsisten, projek transformasi tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2027 dan seterusnya menjadi antara mercu tanda baharu pembangunan pelancongan berasaskan seni dan budaya di Sarawak. -EDISI UKAS