BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti menerusi penganjuran Program Jalinan Kasih Ramadan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
Inisiatif melalui Yayasan Bintulu Port itu bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara syarikat dan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.
Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh berkata, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan sebagai manifestasi keprihatinan syarikat dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
“Program Jalinan Kasih Ramadan merupakan inisiatif tahunan Yayasan Bintulu Port sebagai usaha memperkukuh hubungan antara BPHB dan komuniti setempat, di samping menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Selain majlis berbuka puasa bersama komuniti, pihak kami turut menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim, pusat tahfiz serta bantuan berbentuk fasiliti kepada masjid dan kampung terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Yayasan Bintulu Port: Jalinan Kasih Ramadan Bersama Komuniti di Masjid Darus Salam, Kampung Baru Bintulu, malam Khamis.
Pada majlis tersebut, BPHB menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan termasuk bantuan kepada golongan terpilih serta sebuah televisyen pintar berukuran 75 inci kepada Masjid Darus Salam Kampung Baru Bintulu bagi menyokong pelaksanaan program pengajian dan kuliah agama.
Menurut Maslihah, kemuncak program akan diteruskan dengan majlis iftar bersama pemegang taruh pada bulan hadapan yang turut melibatkan penyampaian sumbangan kepada penerima terpilih.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BPHB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain memperkukuh nilai perpaduan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat di Bintulu dan kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS