Kemudahan Infrastruktur Jalan Di DUN Bukit Kota Terus Dipertingkat
LIMBANG: Kemudahan infrastruktur jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota akan terus dipertingkat bagi memastikan tiada kawasan di DUN berkenaan terputus akses ke jalan raya utama.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, usaha itu dipergiat menerusi kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Negeri, DID Limbang serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurut beliau, empat kampung dikenal pasti masih belum mempunyai akses jalan iaitu Kampung Limpaku Pinang di Kuala Limbang, Kampung Bulantak, Kampung Merambut dan Rumah Panjang Merajang.
“Tumpuan kita kini adalah untuk menghubungkan kawasan-kawasan ini ke rangkaian jalan raya utama bagi memudahkan pergerakan penduduk,” katanya ketika berucap pada Program Badudun Ramadan Daerah Limbang di Masjid Darul Taqwa, Kampung Bakol, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pembinaan jalan ban atau jalan pertanian sepanjang kira-kira enam kilometer bermula dari Jalan Telahak dan Pangkalan Rejab yang akan disambungkan ke Kampung Merambut, Rumah Panjang Merajang serta Kampung Pundut.
Tambah beliau, penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya menjadi keutamaan kerajaan sebelum pembangunan lain dilaksanakan termasuk bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus komited bersama Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah dalam memastikan setiap keperluan penduduk dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan kepimpinan di peringkat akar umbi termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pengurusan Surau dan Masjid sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.
Katanya, kepimpinan yang berkesan amat penting dalam memastikan pengurusan rumah ibadah berjalan dengan baik serta keperluan komuniti dapat disalurkan secara tepat.
Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Sufian Mohat, Imam Bahagian Limbang, Abdul Rahman Iqbal Adli bersama rombongan PAIB Limbang, Penghulu Yusop Dollah, Ketua Kampung Bakol, Kassim Adam serta Pengerusi Masjid Darul Taqwa Kampung Bakol, Hasbollah Ali.-EDISI UKAS