Projek RTP Perkukuh Infrastruktur Luar Bandar DUN Bukit Kota
LIMBANG: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus menjadi instrumen strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, setiap pelaburan kerajaan melalui RTP perlu dimanfaatkan secara optimum serta diselenggara secara berkala bagi menjamin kelestarian kemudahan yang disediakan.
“Kita perlu memastikan premis-premis ini dijaga dengan baik dan diselenggara secara konsisten supaya manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh jangka panjang oleh penduduk,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek RTP di sekitar konstituensinya pada Isnin.
Lawatan melibatkan tinjauan ke Dewan Serbaguna Kampung Buangsiol, Dewan Serbaguna Kampung Limpaong serta Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Limbang bagi menilai keperluan naik taraf dan penambahbaikan kemudahan sedia ada.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah kerja-kerja menaik taraf lantai Dewan Serbaguna Kampung Buangsiol, penambahbaikan sistem perparitan di Dewan Serbaguna Kampung Limpaong, naik taraf TABIKA KEMAS Kampung Limpaong serta penambahbaikan kemudahan di Pejabat PNK Limbang.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap permohonan yang dikemukakan benar-benar berasaskan keperluan sebenar rakyat serta selari dengan perancangan pembangunan setempat.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan berteraskan rakyat terus diperkasa, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian dari segi kemudahan awam dan prasarana komuniti.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai, Penolong Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Jurutera Bahagian Limbang, Louis Jonathan Philip, Penolong Jurutera Majlis Daerah Limbang, Boniface Lalang, Pengurus Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Razedy Abdul Amit, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Limbang, Tarip Bujang, Penghulu Zahidi Asol serta Ketua Kampung Limpaong, Wasli Maseri.-EDISI UKAS