Penghargaan ‘Unik’ Kepada Pengundi Wanita Di DUN Pelawan
SIBU: Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut pada 8 Mac ini, Pusat Khidmat DUN Pelawan tampil dengan inisiatif istimewa, sumbangan 1,500 ekor ayam kepada pengundi wanita di konstituensi tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata inisiatif komuniti itu dilaksanakan dengan kerjasama CCK Local, dengan kedua-dua pihak masing-masing menaja 750 ekor ayam.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa di samping menzahirkan penghargaan terhadap peranan dan sumbangan wanita dalam komuniti setempat.
“Ini adalah sebahagian usaha untuk menunjukkan keprihatinan serta penghormatan kepada golongan wanita yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan baucar bermula 5 Mac ini di Pusat Khidmat Pelawan, No. 20, Lorong 2F, Sungai Merah, dari jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang.
Pemberian baucar adalah berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, selagi stok masih ada.
Penerima yang layak perlu membawa kad pengenalan semasa pengambilan baucar. Bagi pengundi wanita berusia 60 tahun ke atas, wakil dibenarkan mengambil baucar bagi pihak mereka dengan syarat hanya satu baucar diberikan bagi setiap wakil.
Sesi pengagihan ayam akan diadakan pada 8 Mac, dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi di premis CCK Local, Ulu Sungai Merah di mana penerima diminta membawa baucar masing-masing untuk tujuan penebusan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak CCK Local atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.- EDISI UKAS