Ziarah Ramadan DUN Stakan Santuni 136 Asnaf Di Kampung Pangkalan Kuap
KOTA SAMARAHAN: Program Ziarah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan terus menyemarakkan semangat kebersamaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim turun padang menyantuni penduduk di Masjid Darul Ibadah, Kampung Pangkalan Kuap pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, seramai 136 penerima asnaf menerima sumbangan wang tunai melibatkan 106 penerima dari Kampung Pangkalan Kuap, 11 penerima dari Kampung Quop Dayak serta 19 penerima dari Sekolah Tunas Bakti.
Menurut Datuk Hamzah, pemilihan penerima dibuat dengan kerjasama kepimpinan kampung bagi memastikan bantuan yang disampaikan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, rezeki yang ada kita kongsi bersama. Pemilihan penerima dibuat dengan kerjasama kepimpinan kampung supaya bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam majlis sama, sumbangan tambahan berjumlah RM2,000 turut disampaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Pangkalan Kuap bagi menyokong aktiviti pengimarahan masjid sepanjang bulan Ramadan.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa peka terhadap aspek keselamatan, khususnya penggunaan elektrik dan pemasangan lampu hiasan bagi mengelakkan risiko kebakaran menjelang musim perayaan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan akan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada 29 Mac ini di pekarangan pusat khidmat beliau dan menjemput seluruh penduduk di kawasan tersebut untuk hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Afiq Fikri Brahim, Timbalan Ketua PBB Cawangan DUN Stakan Tuah Jini, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan Seli Hasan, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Supian, Ketua Kaum Kampung Pangkalan Kuap Sabawi Bahar, Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Stakan Lela Adini, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Stakan Mohd Azmizan Karim serta Pengerusi Masjid Darul Ibadah Kampung Pangkalan Kuap Ahmad Zaidi Seli.-EDISI UKAS