LIMBANG: Lawatan ke tapak projek oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang bersama agensi teknikal membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan pelaksanaan projek transformasi luar bandar (RTP) berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Lawatan tersebut melibatkan beberapa lokasi projek itu di Kampung Batu Danau dan Medait.
Lawatan dimulakan dengan taklimat pelaksanaan projek Membina Jalan Perhubungan Desa Kampung Batu Danau sebelum diteruskan dengan sesi penyerahan projek siap bagi Naiktaraf Jalan Pertanian Kampung Medait, Limbang Fasa 2 daripada kontraktor kepada Ketua Kampung Medait.
Delegasi turut mendengar taklimat berkaitan projek Membina Jalan Simen Masuk ke Kawasan Tapak Perkuburan Bungkal Bisaya Medait yang sedang dalam pelaksanaan.
Menurut pihak agensi pelaksana, beberapa tindakan tegas telah diambil terhadap kontraktor yang bermasalah bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan serta tidak menjejaskan kepentingan masyarakat setempat.
Langkah tersebut penting bagi mengelakkan kelewatan projek yang boleh memberi impak langsung kepada kemudahan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotills Louise @ Rozita Kulai, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Limbang, Sobree Damit, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa Kanan Pejabat Tanah dan Survei Limbang, Polycarp Pascha Peter serta Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Limbang, Christy Tonia Mejlin.-EDISI UKAS