Penubuhan JKKK Perkukuh Pengurusan Kampung & Rumah Panjang
SIMANGGANG: Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diiktiraf kerajaan terus menjadi asas penting dalam memperkukuh pengurusan kampung dan rumah panjang di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pentadbiran JKKK dapat dilihat menerusi kelulusan pelbagai bentuk elaun kepada barisan jawatankuasa berkenaan.
Menurut beliau, setiap pengerusi JKKK menerima elaun bulanan sebanyak RM1,300, manakala setiausaha pula menerima elaun RM300 sebulan.
“Setiap ahli jawatankuasa induk (AJK) juga akan menerima elaun sebanyak RM50 bagi setiap mesyuarat yang dihadiri, tidak melebihi enam kali setahun, manakala kos pengurusan mesyuarat turut diperuntukkan sebanyak RM100,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa JKKK Kampung Nanga San, Sri Aman di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang, malam Sabtu.
Tambah beliau, pembayaran elaun tersebut tertakluk kepada penghantaran minit mesyuarat ke Pejabat Daerah di kawasan masing-masing bagi memastikan ketelusan serta rekod pentadbiran yang teratur.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja sebagai penghargaan kepada barisan JKKK, malah menjadi dorongan agar mereka lebih aktif merancang pembangunan kampung serta mengurus hal ehwal penduduk.
“Dengan penubuhan JKKK yang mantap, suara penduduk akan lebih mudah disampaikan kepada pihak berkuasa bagi membantu mempercepatkan penyelesaian isu seperti jalan kampung dan bekalan air,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap barisan JKKK dapat memainkan peranan secara proaktif sebagai tulang belakang pentadbiran di peringkat akar umbi sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat setempat.
Terdahulu, Achon Tadeng diperkenalkan sebagai Pengerusi JKKK Kampung Nanga San yang baharu, dibantu oleh Chelsea Tari Pencha sebagai setiausaha dan Sait Madil sebagai bendahari.
Turut diperkenalkan ialah Munan Amoh (JK Pembangunan), Kalong Kandok (JK Kebersihan), Ricket Basu (JK Keselamatan), Sabang Ujek (JK Pendidikan), Bangie Samie (JK Kebajikan), Molly Entiga (JK Pertanian), Jayan Suntai (JK Kebudayaan), Betie Jalak (JK Prasarana), Serang Amoh (JK Perkuburan), Cha Suntai (JK Sukan), Derin Lidam (JK Protokol), Christina Cherurai (JK Biro Wanita) dan Gerunsin Lidam (JK Juru Audit).-EDISI UKAS