15 Agensi Terima Geran MRP RM136,000 di DUN Bukit Goram
KAPIT: Sebanyak 15 agensi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram menerima geran di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM136,000 di sini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang & Adat Bumiputera) merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat pada Jumaat.
Inisiatif ini sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan serta pembangunan di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, peruntukan tersebut bertujuan membantu agensi dan pertubuhan tempatan melaksanakan pelbagai program komuniti, aktiviti kebajikan serta inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau berharap bantuan itu dapat memperkukuh peranan organisasi komuniti dalam memperkasa pembangunan sosial serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan luar bandar.
Turut hadir Timbalan Residen Kapit, Robert Liman.-EDISI UKAS