LIMBANG: Penduduk Kampung Belading berpeluang mengeratkan hubungan silaturahim bersama pemimpin setempat menerusi Majlis Bersungkai Bersama Pemimpin di Surau Kampung Belading.
Majlis pada Sabtu tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang yang hadir bersama isterinya, Datin Mary Sindang.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas komitmen memupuk semangat perpaduan dan ukhuwah dalam komuniti.
Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Majlis seperti ini memberi peluang kepada kita untuk bertemu secara lebih dekat serta memperkukuh kerjasama demi kesejahteraan masyarakat kampung,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan program ibadah korban di Kampung Belading akan diteruskan setiap tahun bagi memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menjayakan penganjuran program ibadah korban di kampung tersebut tahun ini.-EDISI UKAS