IGAN: Prihatin terhadap kebajikan masyarakat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya mengadakan lawatan kerja rasmi di sekitar Daerah Igan, pada Selasa.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan kerja baik pulih di bawah Projek Perumahan Mesra Rakyat Sarawak (PPMRS) serta menyantuni penduduk menerusi Program Sentuhan Kasih.
Dalam program berkenaan, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada warga emas bagi membantu meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Turut diadakan, pengagihan 200 pek bubur pedas kepada penduduk setempat hasil kerjasama PPWS Perkumpulan Igan dan PPWS Daerah Mukah.
Suasana program bertambah meriah apabila beliau turut mengagihkan duit raya kepada orang ramai, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela di samping memperkukuh semangat kebersamaan komuniti. -EDISI UKAS