50 Asnaf DUN Simunjan Terima Wakalah Zakat Petronas Berjumlah RM12,500
SIMUNJAN: Kebajikan golongan asnaf serta penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan terus diberi perhatian menerusi agihan Wakalah Zakat Petronas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan usaha berterusan pihaknya dalam menyantuni golongan memerlukan, khususnya sebagai persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Menurut beliau, bantuan berkenaan disalurkan hasil kerjasama erat antara Pusat Khidmat DUN Simunjan bersama Petronas bagi memastikan tiada golongan sasar yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita sentiasa berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan.
"Walaupun berdepan kekangan dari segi jumlah bantuan, kita tetap memastikan setiap kampung menerima agihan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Petronas kepada golongan asnaf DUN Simunjan di Dewan Muhibbah Kampung Kelka, pada Selasa.
Dalam majlis tersebut, seramai 50 penerima telah menerima sumbangan Wakalah Zakat Petronas dengan setiap seorang menerima RM250, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM12,500.
Tambah beliau, agihan bantuan tersebut melibatkan beberapa kawasan utama termasuk Zon 4 Rangawan, Zon 3 Sungai Apin serta Zon Simunjan Proper.
Beliau turut menasihatkan para penerima agar memanfaatkan bantuan zakat yang diterima dengan sebaiknya demi kesejahteraan keluarga.
Turut hadir ialah isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi; Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Simunjan, Nazari Harun; Penghulu Ahmad Dol Simpol; Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi serta ketua-ketua kampung.-EDISI UKAS