Bantuan Ramadan Ringankan Beban 100 Asnaf di DUN Stakan
KUCHING: Seramai 100 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Program Ziarah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan yang diadakan di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, di sini pada malam Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim Berkat, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi menyantuni golongan memerlukan selain berkongsi rezeki bersama masyarakat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan Aidilfitri di samping memberi kegembiraan kepada keluarga masing-masing dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Alhamdulillah, pada malam ini seramai 100 penerima asnaf telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan melalui program ziarah Ramadan yang kita laksanakan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform untuk kita mendekati masyarakat serta memahami keperluan mereka dengan lebih dekat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Solahuddin Al-Ayyubi Kem Penrissen serta RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau Khalid Al-Walid Kem Muara Tuang.
Beliau menambah, peruntukan tersebut bertujuan membantu meningkatkan kemudahan selain memastikan rumah ibadah sentiasa berada dalam keadaan baik dan selesa untuk kegunaan masyarakat setempat.
Turut hadir Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brig Jen Khairuddin Zakaria, Timbalan Ketua PBB Cawangan DUN Stakan Tuah Jini, Setiausaha PBB Cawangan DUN Stakan Sarkawi Suhaili, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Stakan Mohd Azmizan Karim, Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan Rizal Abu Seman serta Ketua Kaum Kampung Binyuk Zambri Mohi.-EDISI UKAS