Jambatan Sungai Krian Dibuka, Tamatkan Penantian Panjang Penduduk Pusa & Kabong
BETONG: Pembukaan Jambatan Sungai Krian menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar di Sarawak, sekali gus menamatkan penantian panjang penduduk di kawasan Pusa dan Kabong yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri sebagai penghubung utama.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jambatan Sungai Krian merupakan jambatan kedua daripada sembilan buah jambatan yang dijangka siap pada tahun ini dengan Jambatan Igan yang pertama siap dan digunakan pada 16 Mac lepas.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang bukan sahaja merancang pembangunan, malah memastikan setiap projek dilaksanakan demi manfaat rakyat.
"Inisiatif pembangunan seperti projek Jalan Pesisir yang akan berhubung dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak menjadi pemangkin utama dalam memajukan kawasan luar bandar.
“Tujuan utama pembinaan ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya dalam memudahkan akses kepada pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pra-pelancaran Jambatan Sungai Krian, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, pembukaan jambatan ini juga merupakan usaha menunaikan janji kepada penduduk setempat dan wakil rakyat, dengan memastikan ia dapat digunakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyeru agar penduduk setempat memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.
"Dengan adanya infrastruktur yang lebih baik, pembangunan masyarakat dapat digerakkan secara lebih inklusif serta mampan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030," jelas beliau.
Turut hadir, ADUN Kalaka Mohammad Duri, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor, ADUN Krian Friday Belik, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Senator Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roselin Mapong.-EDISI UKAS