ADUN Simanggang Terus Semarakkan Hari Ketiga Aidilfitri Di Sri Aman
SRI AMAN: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis terus menyemarakkan sambutan Aidilfitri pada hari ketiga dengan meneruskan kunjungan muhibah ke beberapa kediaman Ketua Kaum (KK) komuniti Melayu di sekitar Bandar Simanggang, pada Isnin.
Kunjungan pertama beliau bersama rombongan bermula di kediaman KK Mostapa Tugo di Kampung Muhibbah Sri Aman sekitar jam 10 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke rumah KK Awang Kamarudin Awang Majid di Taman Sentosa Indah.
Di Taman Sentosa Indah, Datuk Harden berkesempatan mendengar aduan ringkas KK Kamarudin berkaitan sistem perparitan di kawasannya sebelum beramah mesra sambil menikmati jamuan di kediaman ketua kaum itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu sempat bertanya mengenai perkembangan pembangunan di penempatan Taman Harmoni kepada KK Ahmad sambil berbincang mengenai beberapa perkara lain.
Harden dan rombongan kemudiannya berangkat pulang dari kediaman KK Ahmad sekitar jam 12 tengah hari dan menandakan berakhirnya kunjungan beliau bersempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini di bandar ini.
Menurut beliau, kunjungan sambutan perayaan Aidilfitri ini bukan sahaja bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Ketua Kaum komuniti Melayu di DUN Simanggang malah turut membolehkan beliau mengetahui sebarang isu yang berlaku di penempatan mereka.
"Sebagai wakil rakyat , saya akan terus turun padang meninjau masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan DUN Simanggang dan mencari jalan menyelesaikan perkara itu demi kepentingan mereka," kata beliau. -EDISI UKAS