ICQS Miri Dinaik Taraf, Operasi Disasar Bermula 1 Mei
MIRI: Usaha menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh dilihat mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk utama utara Miri, sekali gus meningkatkan kelancaran pergerakan pelawat dan kenderaan ke bandar raya ini.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menambah baik kemudahan serta memperkemas aliran trafik dari Perunai ke Miri, khususnya di kawasan sempadan yang sering mengalami kesesakan teruk.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kesesakan di ICQS Sungai Tujuh sebelum ini boleh menyebabkan pelawat terpaksa menunggu sehingga tiga hingga empat jam untuk memasuki Miri, sekali gus menjejaskan pengalaman perjalanan dan aktiviti ekonomi setempat.
Beliau memaklumkan bahawa walaupun tarikh siap asal ditetapkan pada 31 Mac 2026, pemeriksaan mendapati masih terdapat beberapa kerja pembaikan dan pengubahsuaian yang perlu disempurnakan.
“Walaupun projek patut siap hari ini, kita beri kontraktor tempoh sebulan terakhir untuk membetulkan semua kesalahan dan kerja defektif supaya operasi boleh dimulakan selewat-lewatnya pada 1 Mei.
“Ini penting kerana selepas itu akan menyusul perayaan Hari Gawai dan cuti-cuti lain, di mana jumlah pelawat dijangka meningkat,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja ke lokasi projek itu pada Rabu.
Menurut beliau, antara isu yang dikenal pasti termasuk penempatan kompresor penghawa dingin yang berisiko dilanggar kenderaan tinggi, pemasangan papan tanda dan lorong yang belum jelas, kemudahan elektrik di tandas awam yang belum siap sepenuhnya serta keperluan penambahbaikan fasiliti di kaunter Imigresen dan Kastam.
Sehubungan itu katanya, pihak JKR Sarawak telah diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan terperinci dan memaklumkan kepada kontraktor berhubung sebarang kerja yang tidak menepati spesifikasi atau kurang memuaskan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan jangka panjang untuk meningkatkan kecekapan ICQS Miri melalui penggunaan teknologi moden seperti sistem pengenalan pantas bagi mempercepatkan proses keluar masuk pelawat.
Tambah beliau, cadangan naik taraf lanjut bagi ICQS Sungai Tujuh turut dimasukkan dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan kemudahan tersebut terus relevan dan mampu menampung peningkatan trafik pada masa hadapan.-EDISI UKAS