87 Rumah Baharu Selesai, Legakan Penduduk Rizab Sungai di Tatau
TATAU: Seramai 87 keluarga di Tatau bakal menikmati kediaman lebih selesa apabila 87 unit rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung siap dibina, sekali gus menyelesaikan isu penempatan penduduk di kawasan rizab sungai berisiko.
Skim yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Pekan Tatau itu memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Dagang dan Kampung Baru Tatau yang sebelum ini mendiami kawasan tebing sungai.
Perkembangan tersebut dimaklumkan semasa Majlis Gabungan Aidilfitri yang dihadiri Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai pada Sabtu.
Bagaimanapun, proses pengagihan rumah kini di peringkat pemuktamadan dengan beberapa siri mesyuarat dilaksanakan bagi memastikan agihan dibuat secara adil, telus dan tersusun.
Dalam masa sama, usaha mengenal pasti tapak baharu bagi pembangunan perumahan mampu milik turut dipergiat sebagai langkah jangka panjang dalam memenuhi keperluan perumahan penduduk setempat.
Inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk memastikan rakyat menikmati akses kepada perumahan berkualiti serta persekitaran yang lebih selamat dan kondusif. -EDISI UKAS