MERADONG: Sebanyak RM81.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro, sekali gus memperkukuh kemudahan asas dan merancakkan transformasi kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr. Safiee Ahmad berkata, antara projek utama yang telah siap termasuk bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Sungai Mawan hingga Kampung Sawai bernilai RM21 juta, di Batang Lassa, Matu bernilai RM7.7 juta serta projek BELB di Sungai Passin yang kini sedang giat dilaksanakan dengan kos RM6 juta.
“Selain itu, kemudahan multimedia seperti sambungan Wi-Fi di kawasan luar bandar turut diberi perhatian,” katanya semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 di Kampung Muara Lebaan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar rakyat terus memberi sokongan dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dinikmati semua lapisan masyarakat.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memperkasa pembangunan luar bandar demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan serta pengukuhan sektor pertanian sebagai pemangkin kepada peningkatan pendapatan penduduk setempat.
Dr. Safiee turut memaklumkan, pembangunan infrastruktur di Muara Lebaan akan terus dipertingkatkan termasuk usaha memperluaskan rangkaian jalan bagi memudahkan perhubungan ke Daro dan Sibu dalam masa terdekat.
Sebagai wakil rakyat, katanya, aspek keselesaan dan keperluan penduduk luar bandar sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Geran Khas sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Lebaan dan RM5,000 kepada Surau Darul Abidin.
Selain itu, RTP Tahun 2026 bernilai RM150,000 akan dilaksanakan bagi menaiktaraf jalan di kampung berkenaan.-EDISI UKAS