Pembangunan Luar Bandar Diperkasa, DUN Bukit Kota Terus Nikmati Limpahan Projek
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan luar bandar dengan penyaluran peruntukan besar serta pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan asas bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota antara yang awal menerima limpahan pembangunan dan terus diberi perhatian secara berterusan.
Menurut beliau, pelbagai projek telah dilaksanakan termasuk cadangan menaik taraf laluan pejalan kaki dari Jalan Buangsiol ke Jalan Tujuh Batu Keliling sehingga ke Jalan Pandaruan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Alhamdulillah, banyak kawasan dalam DUN Bukit Kota telah menerima pelbagai bentuk pembangunan dan kita akan terus meneliti keperluan semasa rakyat dari semasa ke semasa,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kampung Limpaki di Dewan Serbaguna Kampung Limpaki, pada Selasa.
Beliau yang juga ADUN Bukit Kota memaklumkan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyalurkan peruntukan signifikan bagi pembangunan di setiap DUN melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM5 juta serta Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2 juta.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM1 juta setahun turut disediakan bagi pelaksanaan projek baik pulih rumah, khususnya untuk membantu golongan memerlukan menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat.
Dalam pada itu, beliau berkata masih terdapat beberapa kampung di Limbang yang belum mempunyai akses jalan, antaranya Kampung Bulantak, Kampung Limpaku Pinang, Kampung Merambut dan Kampung Merajang.
Menurutnya, sebanyak RM200 juta telah diluluskan di bawah peruntukan Persekutuan bagi pembinaan jalan ke Kampung Bulantak dan Kampung Limpaku Pinang bagi meningkatkan jaringan perhubungan kawasan tersebut.
Pada masa sama, keperluan komuniti setempat turut diberi perhatian termasuk kelulusan peruntukan sebanyak RM3,000 bagi pembinaan kanopi Arabian di Kampung Limpaki.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kr Sufian Mohat, Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang Suriani Yussop, Pemanca Sahat Bagol, Ketua Kampung Limpaki Samsudin Nagasi dan Pengerusi Surau Baitur Rahim Kampung Limpaki Emran Usut.-EDISI UKAS