RM346.7 Juta Pacu 17 Projek Pembangunan DUN Simanggang
SIMANGGANG: Sebanyak 17 projek pembangunan bernilai RM346.7 juta diluluskan oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memperkasa kemajuan infrastruktur, sosial, ekonomi dan pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Sesi Libat Urus dan Pemantauan Projek SADA yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, di sini pada Jumaat.
Daripada jumlah keseluruhan itu, RM282 juta diperuntukkan bagi 10 projek utama, melibatkan tujuh dalam perancangan, satu dalam pelaksanaan serta dua yang telah siap.
Antara projek dirancang termasuk pembinaan Jalan Basi, Simanggang Link Road, naik taraf Jalan Akses Sri Aman serta penambahbaikan sistem perparitan di beberapa kawasan seperti Kampung Muhibah, Taman Tiara, Kampung Resak dan Pasir Panas.
Bagi projek dalam pelaksanaan, ia melibatkan kerja naik taraf jalan Guntong-Menalang, manakala dua projek siap merangkumi pembinaan jambatan merentasi Sungai Undop di Kampung Beleti serta pemasangan lampu isyarat di persimpangan utama Jalan Akses Sri Aman (Q7).
Dalam sektor sosial, sebanyak RM52.1 juta diperuntukkan bagi lima projek termasuk cadangan menaik taraf Dewan Bedah 3 serta pembinaan Blok Psikiatrik dan Blok Pakar di Hospital Sri Aman II.
Selain itu, projek lain melibatkan pembinaan Pusat Sokongan Sosial Komuniti Sri Aman Fasa 1, Pusat Khidmat Batu Lintang serta pemasangan papan iklan digital di bandar Sri Aman.
Dalam sektor ekonomi pula, RM12.1 juta diperuntukkan bagi pembinaan 50 unit Industri Desa di Bandar Baru Sri Aman, manakala RM500,000 disediakan untuk Projek Rumah Burung Walit di bawah sektor pertanian.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menambah, pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk meningkatkan taraf hidup serta membuka peluang ekonomi baharu.
Turut hadir Pegawai Tadbir Khas SADA Charlie Geling, Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan serta wakil agensi kerajaan berkaitan.-EDISI UKAS