ADUN Balingian Kekal Presiden Persatuan Melanau Mukah
MUKAH: Persatuan Melanau Mukah (PMM) mengekalkan Abdul Yakub Arbi sebagai Presiden bagi sesi 2026–2028 dengan tumpuan utama memastikan kelancaran penganjuran Pesta Kaul Mukah 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PMM di Kingwood Hotel Mukah, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan ahli terhadap kepimpinan beliau.
Dalam mesyuarat sama, ADUN Tellian, Royston Valentine turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.
Menurut Royston, kepimpinan baharu memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuh perpaduan komuniti Melanau serta memastikan kejayaan acara kebudayaan utama negeri itu.
“Keutamaan segera adalah memastikan Pesta Kaul Mukah 2026 dilaksanakan dengan teratur dan mencapai objektif ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Mazira Ramli dilantik sebagai Setiausaha, dibantu Nur Syafika Jafni Ifwanji sebagai Penolong Setiausaha.
Jawatan Bendahari disandang Pengiran Saifuddin Pengiran Mahtar, manakala Ardyman Matan @ Henry sebagai Penolong Bendahari.
Sembilan AJK turut dipilih, manakala Diana Stanilaus dilantik sebagai Juruaudit Dalaman bagi memastikan tadbir urus kewangan persatuan kekal telus dan berintegriti.
Pemilihan yang berlangsung secara harmoni itu mencerminkan semangat perpaduan kukuh dalam kalangan ahli PMM.-EDISI UKAS