Program Forum Ekonomi DUN Lingga Perkasa Pembangunan Penduduk.
SIMANGGANG: Persatuan Anak Perantau Simanggang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman buat julung kalinya telah mengadakan Program Forum Ekonomi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.
Pengerusi Anak Perantau Simanggang, Datu Kameri Affandi pada ucapannya berkata, forum ini bertujuan untuk untuk memperkukuh ekonomi DUN Lingga melalui pemantapan ilmu dan pengukuhan jaringan strategik.
Selain itu, penganjuran forum ini katanya juga bertujuan untuk untuk memperkembangkan lagi akses penduduk kepada ruang pembangunan industri berfokuskan ekonomi serta industri digital, hijau dan pertanian moden atau jaringan pembelajaran.
"Pihak kami melalui forum ini juga turut memberi pendedahan mengenai peluang ekonomi digital, tenaga hijau dan perniagaan mampan kepada penduduk di samping meningkatkan kefahaman mereka mengenai standard pensijilan dan peluang perniagaan halal.
"Malah, turut kami lakukan melalui forum ini adalah memperkenalkan mereka kepada konsep pertanian moden serta menghubungkan belia dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)," katanya.
Beliau memberitahu, forum ini adalah merupakan cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mahu program terbabit diadakan pada akhir tahun lepas.
Jelasnya, cadangan ini ini jelas mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkukuhkan pembangunan ekonomi DUN Lingga dan seterusnya mahu penduduk di sini membangun seiring atau lebih jauh berbanding penduduk dari lain-lain kawasan di Sarawak.
Empat ceramah turut diadakan pada forum itu dengan dua daripadanya adalah Pelancongan Lestari: Membina Masa Depan Sosioekonomi Daerah Lingga yang disampaikan oleh Dr Victor Luna dan Membina Ekosistem Halal Berdaya Saing: Piawaian, Inovasi & Peluang Perniagaan oleh Dato Dr Jamil Hamali.
Baki dua ceramah lagi adalah Agro Teknologi & Perniagaan Hijau: Memperkasa Usahawan Pertanian Era Digital oleh Dominic Chunggat dan Kerjaya Masa Depan: Memperkasa STEM & TVET, Industri & Pendidikan untuk Generasi Baharu oleh Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim.
Hari pertama Program Forum Ekonomi DUN Lingga ini kemudiannya diakhiri dengan sesi Panel Diskusi 1: "Membina Ekosistem Ekonomi DUN Lingga 2026 - 2030 yang dikendali Prof Dr Abang Zainoren Abang Abdurahman bersama empat ahli panel iaitu Dr Victor Luna, Dominic Chunggat (Pengarah Pertanian Sarawak), Dato Syeed Mohd Wan Abd dan Dato Dr Jamil Hamali.
Sejumlah 24 kaunter pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan usahawan telah dibuka dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bakal merasmikan majlis penangguhan forum itu pada jam 11 pagi, Ahad ini.
Hadir sama Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datu Amar Jaul Samion, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS