BPHB Terus Jadi Nadi Ekonomi Sarawak, Rekodkan 52 Juta Tan Kargo Pada 2025
KUCHING: Prestasi cemerlang Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus menjadi nadi utama sebagai pemacu ekonomi Sarawak apabila merekodkan 52 juta tan jumlah kargo sepanjang tahun 2025.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, jumlah tersebut turut disokong oleh 313,000 unit setara dua puluh kaki (TEUs) pengendalian kontena serta lebih 7,600 panggilan kapal.
Ujarnya, pencapaian itu menyaksikan Bintulu Port mengendalikan lebih 80 peratus daripada keseluruhan import dan eksport Sarawak.
"Daripada gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan kayu balak kepada kargo industri berat serta bahan mentah, pelabuhan ini kekal sebagai nadi utama dalam ekosistem ekonomi Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Apresiasi Bintulu Port Holdings Berhad yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut memberitahu, Pelabuhan Industri Samalaju bakal menjadi pelabuhan Zon Bebas sepenuhnya pertama di Sarawak susulan ia diluluskan secara prinsip oleh Kementerian Kewangan.
Kini ujarnya, perancangan pelabuhan zon bebas ini juga diperluaskan kerangkanya ke Pelabuhan Bintulu yang akan mewujudkan koridor industri yang komprehensif dan berdaya saing di peringkat global.
Hadir sama, Anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus