BPHB Perkasa Agenda Kelestarian Dalam Pengurusan Pelabuhan
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memperkukuh agenda kelestarian dalam pengurusan pelabuhan seiring usaha mentransformasikan Bintulu Port sebagai hab maritim hijau bertaraf antarabangsa.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kelestarian kini menjadi teras utama dalam misi serta operasi syarikat.
"Pada tahun lepas, Pelabuhan Bintulu telah dianugerahkan Pensijilan Green Terminal Label oleh Bureau Veritas, sebagai pengiktirafan rasmi terhadap komitmen kami dalam pengurusan alam sekitar serta transformasi berterusan ke arah menjadi hab maritim hijau terkemuka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-30 Bintulu Port Holdings Berhad yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk penggunaan enam RTG hibrid serta pengenalan kenderaan EV Terminal Towing Tractors bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi berat.
Selain itu, pemasangan panel solar berskala besar di bumbung gudang turut dilaksanakan bagi menjana tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar memberitahu, BPHB turut meneroka penggunaan kapal tunda berkuasa elektrik (EV) dan hidrogen bagi memodenkan perkhidmatan marin dalam usaha memperkukuh lagi agenda hijau,
"Kami juga sedang memajukan perancangan untuk membangunkan loji Hidrogen Cecair khusus bagi menyokong logistik tenaga dan eksport Sarawak," jelasnya.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah lagi, BPHB turut menyediakan asas bagi kemudahan 'bunkering' hijau untuk memenuhi keperluan generasi baharu perkapalan global yang mesra alam.
Ujarnya, kesemua usaha ini selari dengan aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Digital Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus