RM570,000 Projek RTP Naik Taraf Prasarana 11 Rumah Panjang di DUN Meradong
MERADONG: Sebanyak RM570,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan kerja-kerja naik taraf prasarana di 11 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan asas serta tahap keselamatan dan keselesaan penduduk rumah panjang di kawasan tersebut.
“Pelaksanaan projek RTP ini melibatkan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan asas seperti laluan jalan utama, sistem perparitan, tempat letak kenderaan serta kemudahan lain yang berkaitan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk rumah panjang.
“Pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya rumah panjang, akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan meninjau lokasi projek RTP di beberapa rumah panjang di kawasan DUN Meradong pada Khamis.
Menurut beliau, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau bagi memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meneliti secara langsung lokasi-lokasi projek yang telah diluluskan selain mendapatkan maklum balas daripada ketua masyarakat dan penduduk rumah panjang berkaitan keperluan sebenar serta keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing.
Tambah beliau, pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang benar-benar memenuhi kehendak rakyat serta selari dengan keperluan semasa komuniti setempat.
Dalam masa yang sama, Datuk Ding memaklumkan bahawa pelantikan kontraktor bagi projek-projek tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah cabutan undi selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam proses pelaksanaan.
Beliau turut berharap agar semua pihak termasuk kontraktor yang dilantik serta komuniti setempat dapat memberikan kerjasama penuh bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta mencapai standard kualiti yang diharapkan.-EDISI UKAS