Karnival Gimnastik Kumpulan Estetik Platform Cungkil Bakat Baharu
KUCHING: Penganjuran Sarawak Karnival Gimnastik Kumpulan Estetik (AGG) 2026 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkasa pembangunan sukan gimnastik berpasukan di negara ini.
Program yang berlangsung pada 25 dan 26 April itu berjaya menghimpunkan kira-kira 300 gimnas dari seluruh Malaysia, sekali gus memperlihatkan peningkatan minat serta penyertaan dalam sukan Gimnastik Kumpulan Estetik (AGG) yang semakin berkembang.
Selain pertandingan utama, karnival ini turut diselitkan dengan elemen pembangunan seperti program latihan dan pendedahan teknik kepada peserta, bertujuan meningkatkan kemahiran serta kefahaman atlet terhadap disiplin tersebut.
Penganjuran bersama siri kebangsaan Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA) ini turut membuka ruang kepada gimnas untuk menimba pengalaman bertanding di peringkat lebih kompetitif, sekali gus menjadi persediaan ke kejohanan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Dalam masa sama, acara ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha memperluas penglibatan golongan muda dalam sukan berteraskan seni dan koordinasi tersebut, sejajar dengan aspirasi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi dari peringkat akar umbi.
Kejayaan penganjuran karnival ini juga memperkukuh peranan Sarawak sebagai antara lokasi tumpuan bagi pembangunan sukan gimnastik di Malaysia, khususnya dalam memacu pertumbuhan AGG secara lebih menyeluruh.-EDISI UKAS
Credit to : Sarawak Aesthetic Group Gymnastics Association (SAGGA)