Projek Talian Penghantaran 275kV Bakun–Murum Perkukuh Ketahanan Grid Tenaga Sarawak
BELAGA: Usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sarawak terus diperkasa menerusi pelaksanaan Projek Talian Penghantaran 275kV Bakun–Murum Litar Ke-3 dan Ke-4 yang menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan ketahanan grid serta memastikan bekalan tenaga lebih stabil dan berdaya tahan di wilayah tengah negeri ini.
Majlis simbolik sempena pencapaian projek tersebut disempurnakan melalui upacara tradisional Pela Daleh yang berlangsung di Pencawang Murum Junction, Simpang Urun, sebagai tanda penghormatan terhadap adat dan budaya masyarakat Orang Ulu.
Upacara yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Belaga dengan kerjasama Sarawak Energy itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, serta dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Power, Ir. Bunyak Lunyong, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, wakil agensi kerajaan serta ketua masyarakat setempat.
Sementara itu, Ir. Bunyak berkata, projek berkenaan merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kestabilan sistem grid elektrik di Sarawak, sekali gus memastikan bekalan tenaga yang lebih konsisten kepada pengguna domestik dan industri.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan grid, malah pelaksanaan upacara Pela Daleh mencerminkan komitmen Sarawak Energy dalam menghormati adat dan budaya masyarakat setempat serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis tersebut pada Rabu.
Tambah beliau, pendekatan tersebut selari dengan usaha pelaburan sosial syarikat yang turut memberi penekanan kepada pemeliharaan warisan budaya dan pembangunan komuniti.
Sebagai kesinambungan, upacara Pela Daleh turut akan diadakan di beberapa penempatan rumah panjang termasuk Uma Badeng, Uma Nyaving, Uma Apan, Uma Sambop Long Semutut, Uma Sambop Batu Pilau dan Rh Kejaman Lasah bagi memastikan setiap komuniti terlibat secara menyeluruh.
Projek sepanjang kira-kira 21.2 kilometer itu melibatkan pembinaan talian penghantaran dua litar 275kV yang menghubungkan Empangan Hidroelektrik Bakun dengan Murum Junction.
Sejak bermula pada Disember 2025, projek tersebut telah mencapai kemajuan 8.64 peratus setakat Mac 2026.
Fasa awal pelaksanaan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kejuruteraan, pembersihan jajaran serta kajian tanah secara menyeluruh, dengan sasaran siap menjelang November 2027.
Peningkatan rangkaian penghantaran ini memainkan peranan penting dalam menambah baik kestabilan sistem serta mengurangkan risiko gangguan bekalan berskala besar, di samping memastikan tenaga sebanyak 2,520 megawatt yang dijana dari Empangan Hidroelektrik Bakun dapat disalurkan dengan lebih efisien.
Dalam masa sama, Sarawak Energy akan terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memberi manfaat berterusan kepada kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS