Pusat Seni Persembahan Sarawak Dijangka Siap Suku Kedua 2027
KUCHING: Pembinaan Pusat Seni Persembahan negeri ini kini berjalan lancar dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan berbanding jadual asal, pihaknya berpuas hati dengan kemajuan projek tersebut yang bakal menjadi pemangkin utama kepada penganjuran acara bertaraf besar di Sarawak.
Menurut beliau, kemudahan baharu itu akan menawarkan kapasiti penonton yang jauh lebih besar berbanding auditorium sedia ada, selain dilengkapi sistem akustik yang lebih berkualiti.
“Penganjuran banyak acara pada masa ini terpaksa diadakan di Dewan Undangan Negeri, Borneo Cultures Museum, dan kadang-kadang kita mengaturkannya di tempat-tempat lain seperti di Blessed Centre, Amphitheater dan auditorium Majlis Perbandaran Kuching Selata (MPKS).
“Jadi dengan adanya Pusat Seni Persembahan nanti, ia akan lebih teratur dengan acara besar kita akan bawa ke sana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan ‘Born To Dance International Competition’ 2026, di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Ahad.
Mengulas perkembangan sektor pelancongan negeri, beliau menegaskan bahawa usaha memperbanyakkan acara merupakan strategi penting dalam memastikan Kuching kekal sebagai bandaraya yang dinamik dan tidak ‘membosankan’.
“Bagi saya, sesebuah bandar yang membosankan, tanpa hiburan, tanpa pencahayaan malam seperti lampu neon akan dilihat sebagai tidak menarik.
“Apabila sesebuah bandar itu tidak menarik, minat pengunjung untuk datang juga akan berkurangan. Justeru, jika bandar tersebut dapat dihidupkan dengan pelbagai aktiviti seperti hiburan, sukan, acara makanan dan festival, ia berpotensi menarik lebih ramai pengunjung serta merancakkan suasana bandar,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, kehadiran pelancong bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah memberi limpahan ekonomi kepada industri perhotelan, makanan dan perkhidmatan tempatan. -EDISI UKAS