MSSD Selangau 2026 Labuh Tirai, Ahli Parlimen Selangau Umum Sumbangan Pendidikan dan Sukan RM35,000
SIBU: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Selangau 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung meriah di Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya, pada Rabu.
Majlis penangguhan rasmi telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi beberapa kategori yang dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan sukan di kawasan Selangau menerusi beberapa sumbangan khas yang diumumkan sempena majlis berkenaan.
Antara sumbangan tersebut ialah RM10,000 bagi pembelian dron untuk kegunaan pendidikan, RM5,000 bagi membantu perbelanjaan kontinjen sekolah yang akan mewakili Selangau ke kejohanan sukan pada Julai depan serta RM20,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau bagi pelaksanaan aktiviti sekolah dan program pendidikan di daerah tersebut.
Beliau berkata, kejohanan seperti ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat atlet muda, malah berperanan penting dalam memupuk semangat kesukanan, disiplin serta perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Pembangunan sukan di peringkat sekolah perlu terus diperkasa kerana ia mampu melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah dari segi kepimpinan dan sahsiah diri,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Selangau Ringgit @ Gawan Saut.-EDISI UKAS