15 Lokasi Projek RTP DUN Jepak Dikenal Pasti Menerusi Lawatan Tapak
BINTULU: Sebanyak 15 lokasi projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dikenal pasti menerusi lawatan tapak yang diadakan pada Rabu.
Lawatan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), ketua ranting dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak itu bermula seawal jam 8.30 pagi, melibatkan beberapa kawasan termasuk Kuala Serupai, Kampung Kuala Tatau, Ulu Sebauh dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena.
Antara projek yang dikenal pasti melibatkan keperluan asas penduduk seperti naik taraf jalan, rumah panjang, titi, dewan, jeti serta kemudahan sekolah yang dicadangkan di bawah RTP tahun 2026.
Menurut Iskandar, pelaksanaan projek tersebut penting bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar terus menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat.
“Kita berharap kemudahan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat dari segi kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata, antara isu utama yang turut diberi perhatian ialah aspek keselamatan di kawasan sekolah susulan aduan berhubung kesesakan lalu lintas ketika waktu menghantar dan mengambil pelajar.
Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi berkaitan bagi menyediakan kawasan parkir sementara menggunakan batu kerikil sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.
“Kita mengutamakan keselamatan pelajar kerana terdapat kes kemalangan pernah berlaku melibatkan pelajar yang menggunakan motosikal untuk ke sekolah,” ujarnya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau keperluan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tatau termasuk cadangan naik taraf laluan masuk dan keluar serta kawasan parkir sekolah.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas penyediaan peruntukan RTP yang disifatkan mampu mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan rakyat khususnya di kawasan DUN Jepak.
Antara projek yang dikenal pasti termasuk naik taraf Rumah Panjang Rumah James Jagan Chaong di Kuala Serupai, naik taraf jalan dan Susur Gajah di SK Kuala Tatau, pembinaan tembok tapak rumah panjang di Serupai serta naik taraf jalan ke beberapa rumah panjang di Sungai Silas dan Jalan Ulu Sebauh.
Turut disenaraikan ialah projek penyediaan ruang menunggu kenderaan di SMK Kemena, naik taraf jalan di Kampung Sebiew dan naik taraf Dewan Serbaguna RPR (SPPS) Sebiew, Bintulu.
Turut hadir ialah wakil agensi pelaksana, ketua masyarakat serta tuai rumah setempat.-EDISI UKAS