Pembangunan Pelabuhan Di Sarawak Diperkasa Secara Strategik
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang memindahkan fungsi kawal selia pelabuhan-pelabuhan di negeri ini susulan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata ia adalah langkah strategik dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dalam memperkasa pembangunan pelabuhan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri melalui MIPD sedang giat merancang serta melaksanakan pembangunan dan inisiatif pelabuhan yang komprehensif selaras dengan sasaran pertumbuhan ekonomi di bawah PCDS 2030.
“Lembaga Pelabuhan Sarawak akan berperanan sebagai badan pengawal selia tunggal bagi semua pelabuhan negeri, menggantikan pihak berkuasa pelabuhan sedia ada, termasuk Pelabuhan Bintulu setelah penyerahan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau lagi, lembaga-lembaga pelabuhan juga akan dikorporatkan susulan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak.
“Ini membolehkan semua pelabuhan di Sarawak dikendalikan sebagai entiti komersial yang mengamalkan tadbir urus korporat, kecekapan operasi, pengukuhan keselamatan dan pengurusan kewangan yang kukuh. Proses mengkorporatkan pelabuhan di Sarawak dilaksanakan secara berfasa.
“Lembaga Pelabuhan Sarawak juga berperanan untuk merancang dan menyelaras pembangunan pelabuhan negeri dengan melaksanakan pelan pembangunan pelabuhan yang menyeluruh,” jelasnya lagi.
Dalam hal ini katanya, pendekatan berasaskan pengelompokan (clustering) pelabuhan akan dilaksanakan bagi mengoptimumkan fungsi setiap pelabuhan mengikut kelebihan dan peranan masing-masing.
Ini bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi serta memperkukuh rantaian logistik dan menggalakkan pembangunan kawasan hinterland iaitu kawasan pedalaman atau kawasan sokongan di sekitar pelabuhan utama, katanya.
Selain itu katanya, antara langkah-langkah lain yang sedang dilaksanakan ialah “The Dredging and Associated Works Project” di Kuala Baram oleh Lembaga Pelabuhan Miri yang dijangka siap pada Oktober 2026.
Dalam masa yang sama jelas beliau, penubuhan “Borneo Oil and Gas Supply Base” merancakkan lagi Bintulu sebagai hab utama dan lokasi strategik bagi menyokong pertumbuhan industri minyak dan gas di Sarawak.
Selain itu tambah beliau, projek mega di Tanjung Embang melibatkan pembinaan pelabuhan laut dalam dan terminal gas sedang giat dirancang oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama PETROS di mana fasa pertama dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2032.
“Kerajaan Sarawak juga turut melihat keperluan membangunkan kawasan Zon Bebas di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri.
“Ini diyakini akan meningkatkan aktiviti nilai tambah dan mampu menarik pelaburan dalam industri berorientasikan eksport,” jelasnya. - EDISI UKAS