KUCHING: Selepas mara ke final Piala Malaysia buat julung kalinya, Kuching City FC (KCFC) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menempah slot ke pentas glamor, AFC Champions League Two pada tahun hadapan.
Ia susulan kejayaannya menamatkan saingan Liga Super 2025-2026 di kedudukan kedua dengan kutipan 53 mata, memintas pencabar utamanya, Selangor FC yang meraih 52 mata.
Dalam perlawanan terakhir liga musim ini, KCFC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC dalam aksi di Stadium Negeri pada Ahad untuk mengesahkan slot ke pentas Asia bersama juara liga, Johor Darul Takzim.
Bermain di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, KCFC memulakan rentak permainan agresif apabila berjaya membuat beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan.
Asakan bertali arus itu akhirnya membuahkan hasil apabila gol sulung tuan rumah hadir pada minit ke-29 menerusi ‘set-piece’ dari lontaran ke dalam yang disudahkan penyerang sensasi KCFC, Jerome Mpacko Etame.
Memasuki babak kedua, KCFC enggan memperlahankan rentak sebaliknya, mereka terus menggandakan tekanan dalam usaha memburu jaringan kedua sambil mengekang setiap percubaan pelawat untuk bangkit.
Pada minit ke-48, stadium sekali lagi bergema apabila Yuki Tanigawa berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut, namun pengadil, Muhammad Usaid Jamal membatalkan jaringan tersebut selepas mengesan kekasaran dalam kotak penalti.
Walaupun dinafikan gol kedua, anak buah Aidil Sharin terus mempamerkan semangat juang tinggi dan disiplin bertahan yang ampuh.
Dua peluang terbaik yang hadir sekitar pertengahan babak kedua hampir menambah derita pelawat, namun gagal disempurnakan.
Tiupan wisel penamat akhirnya mengesahkan malam penuh bersejarah buat Kuching City FC apabila gol tunggal Jerome sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan berprestij, mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga serta melakar pencapaian terbesar kelab dengan kelayakan ke pentas Asia. -EDISI UKAS