Institusi KMKK Diperkukuhkan Menerusi Kenaikan Kadar Gaji & Elaun Bulanan
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuhkan institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerusi kenaikkan kadar gaji dan elaun bulanan KMKK sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa mulai Januari 2026.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ini merupakan penambahbaikan dari aspek kebajikan agar KMKK kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi kehendak masyarakat masa kini menerusi pelbagai langkah.
“Untuk makluman, kerajaan juga turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan KMKK.
“Antaranya adalah menyediakan Buku Panduan Ketua Kaum, di mana sebanyak 7,879 naskah telah diedarkan kepada semua KMKK serta pejabat-pejabat kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan dan pelaksanaan transformasi pendigitalan sistem pengurusan KMKK,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri John Sikie menambah, Kerajaan Sarawak juga sedang mengkaji dan meneliti sebanyak 1,057 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu KMKK dari seluruh Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak pada masa ini masih mengekalkan polisi yang sedia ada mengenai pentadbiran rumah panjang yang mempunyai lebih daripada 60 buah pintu. -EDISI UKAS