Industri Kraf Sarawak Terus Berkembang, Usahawan Berdaftar Cecah 1,593 Orang
KUCHING: Industri kraf Sarawak terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah usahawan kraf berdaftar meningkat kepada 1,593 orang setakat April 2026 berbanding 1,503 orang pada tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan tersebut mencerminkan keberkesanan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa, mempromosi dan memelihara seni kraf tradisional menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, inovasi teknologi serta kerjasama strategik.
“Selaras dengan kemajuan teknologi, Majlis Kraf Sarawak (SCC) memberi tumpuan kepada integrasi teknologi moden serta aplikasi dalam reka bentuk kraf, pemeliharaan budaya dan warisan sekaligus membolehkan SCC bekerjasama rapat dengan komuniti dengan memupuk kemahiran perniagaan yang profesional,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Menurut beliau, SCC turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak menerusi pelaksanaan program pembangunan kapasiti, jualan produk kraf serta penyertaan dalam pelbagai pameran di peringkat tempatan dan nasional.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau memaklumkan SCC telah menjalin kerjasama dengan badan kraf seperti ‘ASEAN Handicraft Promotion and Development Association’ (AHPADA), ‘Asia Pacific Craft Association’ (APCA) dan ‘British Council’ bagi memperluaskan akses pasaran serta pertukaran kepakaran industri kreatif.
Selain itu katanya, di bawah Program Khas Bumiputera, SCC akan melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan untuk Penggiat Kraf di Sarawak melibatkan 100 peserta dari kawasan luar bandar sebagai usaha memperkukuh kemahiran dan keupayaan komuniti setempat.
“Sektor kraf Sarawak juga diperkukuh melalui inisiatif promosi dan pemasaran strategik di mana seramai 90 usahawan kraf telah menyertai pelbagai acara dalam dan luar negara seperti INACRAFT Indonesia, MATKA Fair di Helsinki, Finland, serta MATTA Fair Kuala Lumpur.
“Melalui penyertaan ini, para usahawan berpeluang memperoleh pengetahuan baharu, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh jaringan hubungan dengan komuniti kraf antarabangsa,” ujar beliau.-EDISI UKAS