Usahawan Muda Sarawak Diperkasa Melalui Geran SYstartUP Berjumlah RM3 Juta
KUCHING: Usahawan muda di negeri ini terus diperkasa melalu geran ‘Sarawak Youth Startup’ (SYstartUP) berjumlah RM3 juta bagi menyokong usahawan muda memulakan serta membangunkan perniagaan mereka.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, geran berkenaan adalah untuk membantu golongan belia memulakan serta membangunkan perniagaan mereka, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak terus memperkukuh sokongan terhadap usahawan muda melalui inisiatif pembiayaan strategik yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan dan kelestarian perniagaan.
“Sejumlah peruntukan sebanyak RM3 juta telah diluluskan di bawah Geran SYstartUP bagi menyokong usahawan muda memulakan serta membangunkan perniagaan mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Selain itu katanya, sebanyak RM25 juta turut diluluskan melalui inisiatif pinjaman mudah bagi memudahkan pengembangan perniagaan, peningkatan operasi serta pertumbuhan pasaran dalam kalangan perusahaan yang diterajui belia.
“Ini membuktikan komitmen kukuh Kerajaan Sarawak dalam membantu belia kita untuk menceburi serta mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Kementerian akan terus membangunkan bukan sahaja usahawan, tetapi juga generasi Sarawak yang menjadi pencipta pekerjaan, pemacu utama ekonomi, inovator serta pemimpin perniagaan masa hadapan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS