Kerajaan Sarawak Tegas Terhadap Pemaju Gagal Siap Projek Perumahan
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperketat pemantauan terhadap projek perumahan bermasalah bagi memastikan kebajikan dan kepentingan pembeli rumah sentiasa terpelihara, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang gagal mematuhi syarat pembangunan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, antara tindakan yang diambil termasuk penggantungan lesen pemaju dan permit jualan sehingga pematuhan sepenuhnya dilaksanakan.
Menurut beliau, tindakan tersebut melibatkan projek Treetops Apartments di Bintulu yang kini mengalami kelewatan penyiapan.
Katanya, projek yang dibangunkan oleh Twin Revenue Sdn Bhd itu dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga atau keempat tahun 2026 selepas isu berkaitan keperluan infrastruktur pencawang 33KV oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) diselesaikan.
“Bagi melindungi kepentingan pembeli rumah, kementerian akan menggantung lesen pemaju dan permit jualan sehingga pematuhan sepenuhnya dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah menjadi saluran rasmi kepada pembeli untuk menuntut pampasan Liquidated Ascertained Damages (LAD) susulan kelewatan penyerahan rumah.
Setakat ini, tiga tuntutan telah difailkan oleh pembeli projek berkenaan dengan dua daripadanya telah menerima keputusan tribunal.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Dr Sim berkata kementeriannya turut memantau rapat tiga projek perumahan oleh KS Tiong Sdn Bhd di Mukah iaitu Taman Kingsum, Taman Indah dan Taman Qinrara.
Menurut beliau, bagi projek Taman Kingsum dan Taman Indah, kebanyakan unit rumah hampir siap sepenuhnya dan hanya melibatkan baki kerja infrastruktur.
“Pemaju kini sedang melaksanakan penstrukturan semula projek dan mencari pembiayaan tambahan bagi mempercepatkan penyiapan projek,” jelas beliau.
Bagi projek Taman Qinrara pula, katanya, hanya dua unit berjaya dijual disebabkan permintaan pasaran yang lemah dan pemaju sedang meneliti beberapa penyelesaian termasuk kerjasama usaha sama serta proses bayaran balik kepada pembeli terjejas.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri terus komited memperluaskan pembangunan rumah mampu milik di seluruh Sarawak menerusi agensi seperti Housing Development Corporation (HDC), Land Custody and Development Authority (LCDA) dan Bintulu Development Authority (BDA).
Tambah beliau, pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk Skim SPEKTRA Permata (RSP), Skim Rumah Mampu Milik (RSM), bantuan deposit RM10,000 di bawah HDRAS, pinjaman faedah rendah serta langkah anti-spekulasi bagi membantu golongan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan kumpulan M40 memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau lagi, kerajaan turut meneliti sokongan pembiayaan tambahan khusus kepada kumpulan “missing middle” bagi memastikan akses kepada perumahan mampu milik yang lebih menyeluruh di Sarawak. -EDISI UKAS