Pembukaan Jambatan Batang Lupar Catat Sejarah Baharu Infrastruktur Sarawak, Bukti Komitmen GPS Pacu Pembangunan Sarawak
BATANG LUPAR: Pembukaan rasmi Jambatan Batang Lupar 1 hari ini mencipta sejarah baharu pembangunan Sarawak apabila infrastruktur sepanjang 4.84 kilometer (km) itu diiktiraf sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai RM848.7 juta itu menjadi simbol kejayaan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam melaksanakan pembangunan berskala besar menggunakan dana negeri sendiri.
“Ini adalah acara yang sangat bersejarah. Batang Lupar 1 merupakan jambatan paling panjang di Malaysia dan dibina menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri.
“Kita amat bangga dengan pencapaian ini dan berterima kasih kepada JKR Sarawak kerana berjaya menyiapkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 1 pada Khamis.
Menurut beliau lagi, pembukaan jambatan berkenaan turut menandakan berakhirnya kebergantungan terhadap perkhidmatan feri di laluan pesisir utama dari Kuching ke Miri.
“Apabila jambatan ini digunakan mulai hari ini, perjalanan dari Kuching hingga ke Miri tidak lagi memerlukan feri.
“Dahulu pengguna perlu menunggu antara 30 hingga 45 minit, kini hanya sekitar lima minit untuk menyeberang,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan jambatan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak merealisasikan projek pembangunan yang sebelum ini dianggap mustahil.
Menurutnya, projek Batang Lupar merupakan antara tiga projek jambatan di laluan Jalan Pesisir yang pernah dibatalkan kerajaan terdahulu sebelum Kerajaan Sarawak mengambil keputusan meneruskannya menerusi pembiayaan sendiri.
“Hari ini kita dapat menyaksikan realiti terbinanya jambatan paling strategik dan paling panjang menyeberangi sungai di Malaysia.
“Walaupun pada awalnya banyak persoalan sama ada projek ini dapat dilaksanakan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak mengambil pendekatan berani untuk meneruskannya dan hari ini terbukti ia menjadi kenyataan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Dr Cassidy Moris serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Jambatan bertaraf JKR R5 itu dibina sebagai jalan dua lorong dengan bentangan utama kabel sepanjang 598.8 meter serta ruang navigasi selebar 250 meter dan berketinggian 26 meter.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: Natalie Cherinie Johnny