Jualan Agro Sarawakku Sayang Bantu Rakyat Dapat Bekalan Segar Harga Rendah
KUCHING: Inisiatif Jualan Agro Sarawakku Sayang terus diperluaskan di seluruh Sarawak bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan segar pada harga lebih rendah terutama menjelang sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Sayed Ismail Wan Hashim berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama kementerian itu bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu pengguna serta usahawan industri makanan.
“Program ini bermula April lalu dan setakat ini telah diadakan di 11 lokasi di seluruh Sarawak.
“Kita bekerjasama untuk menjual barang-barang segar kepada masyarakat, lebih-lebih lagi ketika kos hidup semakin meningkat sekarang ini.
“Selain membantu pengguna mendapatkan harga lebih murah, program ini juga membantu penjaja dan usahawan di bawah industri makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian program berkenaan di perkarangan Bangunan Baitulmakmur di sini, pada Jumaat.
Menurut Sayed Ismail, jualan berkenaan akan diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk di Kampung Boyan-Gersik serta Medan Satok hujung minggu ini.
Beliau memaklumkan, sehingga April lalu, program berkenaan merekodkan nilai jualan kira-kira RM266,000 melibatkan 67 usahawan tempatan.
“Kita mahu membantu usahawan yang dibimbing FAMA kerana agensi itu mempunyai rangkaian di seluruh Sarawak terutama di kawasan tamu.
“Selain hasil pertanian segar, kita juga mempromosikan produk usahawan tempatan di bawah FAMA sekali gus membantu keseluruhan rantaian bekalan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, sebanyak 40 sesi jualan dirancang tahun ini dengan 11 sesi telah dilaksanakan setakat ini.
Sementara itu, Pengarah FAMA Negeri Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir berkata, menerusi inisiatif MFICORD, FAMA menawarkan potongan harga sekurang-kurangnya 10 peratus bagi pelbagai barangan keperluan.
“Walaupun harga ayam di pasaran boleh mencecah RM13 sekilogram, hari ini kita jual sehingga RM8 seekor.
“Telur pula dijual pada harga RM12 setray berbanding harga pasaran sekitar RM17,” katanya.
Tambah beliau, selain barangan segar seperti ayam dan telur, pihaknya turut membawa hasil pertanian terus dari ladang ke lokasi jualan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan berkualiti pada harga berpatutan.-EDISI UKAS